Salam semua,
Tiba-tiba hati saya berdetik nak bercerita tentang Hazim Zafran.
Kita mulakan dengan sejarah kehamilan saya dulu. Kalau kau orang nak tahu Hazim Zafran nie anak saya yang kedua. Sebenarnya Hazim Zafran ada saudara kembar iaitu Haziq Zafri. Semasa saya mengandungkan Hazim Zafran dan Haziq Zafri nie semuanya berjalan dengan biasa dan lancar. Saya setiap bulan akan menjalankan pemeriksaan di Hospital Selayang. Tapi apakan daya kita hanya merancang tapi Allah swt sahaja yang menentukan. Sepanjang tempoh kehamilan saya, biasa la ada kala saya sihat dan ada kala saya sakit almaklumlahkan kehamilan kembar nie lebih sikit ujiannya dari kehamilan tunggal. Tapi tak apa saya sabar menanti kehadiran si kembar nie dengan penuh rasa syukur dan diharap semuanya baik-baik saja.
Namun pada akhir kehamilan saya, di minggu ke 32 doktor dapat mengesan yang kembar saya mempunyai masalah dikenali sebagai 'twin to twin tranfusion syndrome' (ttts). Perasaan saya dan suami ketika mendengar penerangan doktor hanya Allah swt sahaja yang tahu. Lebih-lebih lagi saya sebagai ibu kepada pasangan nie memang setiap malam tak dapat nyenyak tidor bila memikirkan kata-kata doktor. Harapan dan doa saya diketika itu selamatkanlah anak-anak aku dan diberi kesihatan yang baik untuk mereka berdua.
Dalam tempoh itu juga saya dikehendaki menjalani check up 3x seminggu. Dan pada kali ke3 nya saya dimasukan ke ward kecemasan setelah keadaan bayi yang kurang aktif.
Pada tanggal 22 Disember 2006, Jumaat operasi pembedahan segera dilakukan ke atas saya bagi menyelamatkan nyawa kedua-dua bayi saya. Pada waktu itu suami saya setia menunggu diluar bilik pembedahan sambil berdoa supaya kami semua selamat. Saya dibius separuh sedar, oleh itu semasa proses berjalan saya dapat melihat bayang-bayang yang samar-samar di lampu yang berada di atas saya. Pada jam 12.30 tengahari doktor telah mengeluarkan kembar pertama memandangkan dia semakin lemah. Namun kembar pertama tidak mengeluarkan sebarang tangisan. Hati saya waktu itu tertanya-tanya apa dah jadi pada anak saya itu. Selang beberapa minit pula selepas itu, 12.32 tengahari doktor mengeluarkan pulak kembar kedua saya. Bila kembar kedua dikeluarkan maka ditunjukan oleh jururawat kepada saya bayi tersebut. Saya bertanya pada jururawat jantina bayi samaada lelaki atau perempuan, lalu diselakkan kain yang menutup kemaluan bayi saya. Secara serentak saya menjawap ooooo..... lelaki. Selepas itu kedengaran tangisan bayi comel. Saya tertanya-tanya mana lagi sorang, jururawat memberitahu saya yang lagi sorang dah doktor keluarkan dan sedang diberi bantuan CPR. Saya langsung tidak diberi peluang untuk melihat wajah comel kembar pertama.
Selepas semuanya selesai saya dibawa ke ward manakala anak-anak saya dihantar ke Unit Rawatan Rapi (NICU). Sang suami bergegas ke Unit Rawatan Rapi untuk melihat si kembar selepas melihat dan menguruskan saya. Saya pesan pada suami peluk cium saya untuk mereka.
Untuk kembar pertama, kami namakan Haziq Zafri manakala kembar kedua Hazim Zafran. Dengan berat badan yang berbeda Haziq Zafri 3.01 kg manakala Hazim Zafran hanya 1.71 kg tapi punya iras wajah yang sama. Namun pada pagi Ahad 24 Disember 2006, jam 3.50 pagi kembar pertama mengalami masalah yang kritikal. Saya dikejutkan oleh jururawat untuk melihat keadaan anak saya itu. Dengan perasaan sebak dan rasa sakit diperut kesan dari pembedahan, saya dengan bertenaga bingkas bangunun walhal pada waktu itu saya memang tak boleh nak bangun lagi memandangkan keadaan saya yang masih lemah. Sambil ditolak oleh jururawat dengan menaiki wheelchair tangan saya tak henti-henti mendail nombor telefon suami untuk memberitahu berita tersebut. Oleh kerana suami terlalu letih maka pada hari tersebut dia telah pulang ke rumah untuk berehat. Tinggal saya dan si kembar di hospital. Usaha saya untuk menghubungi suami tidak berjaya lalu saya terfikir untuk menghubungi adik bongsu yang berada dirumah bersama suami dan ibu saya. Usaha saya berjaya untuk bercakap dengan suami. Dengan pantas suami dan ibu saya datang ke hospital. Perjalanan ke hospital mengambil masa lebih kurang 30 minit. Tapi sebelum itu saya banyak berdoa supaya anak saya selamat. Dari mesin hayat saya lihat denyutan jantung makin berkurangan. Untuk pengetahuan semua anak saya itu sebenarnya telah koma. Tetap jam 5.30 pagi saya disorong ke ward oleh suami. Selepas itu suami telah menunggu anak kami di NICU sehingga azan subuh berkumandang. Suami saya pergi menunaikan solat subuh dan sekali lagi jantung anak saya semakin lemah dan saya dikejutkan oleh jururawat sekali lagi. Selepas itu, apabila suami datang kami sama-sama bacakan surah-surah dan ayat-ayat suci al-quran ditelinga anak kami. Allah lebih sayangakan anak kami. Tetap jam 7.30 pagi, 24 Disember 2006, Haziq Zafri telah dijemput untuk mengadap penciptanya. Perasaan saya sebagai ibu yang kehilangan anak waktu itu hanya Allah swt saja yang tahu. Aku juga dapat rasakan perasaan suami juga begitu. Begitu juga dengan kembarnya Hazim Zafran. Kami membuat keputusan untuk mengekebumikan jenazah bayi kami di kampung halaman saya di Perak. Segala urusan di kampung telah saya mencium dahi Haziq Zafri dengan air mata bertakung di kelopak mata. Semua urusan mandi dan kafan selesai dibuat dihospital. Jenazah anak saya dibawa pulang oleh suami ke kampung halaman saya untuk dikebumikan di tanah perkuburan bersama-sama arwah tok ayah Haziq Zafri dan sedara mara yang lain yang telah pergi meninggalkan kami.
Tinggallah saya dan Hazim Zafri dihospital. Pada hari yang sama jugak saya demam. Mungkin saya rindu dan banyak memikirkan tentang Haziq Zafri dan Hazim Zafran. Saya jugak banyak menangis dan membisu tanpa suara pada hari itu. Pada keesokan harinya 25 Disember 2006, suami datang melawat saya di hospital. Saya mohon supaya dapat balik rumah pada hari yang sama jugak daripada pihak hospital. Akhirnya saya dibenarkan pulang ke rumah tetapi agak kecewa jugak kerana anak saya iaitu Hazim Zafran harus ditinggalkan di NICU untuk rawatan rapi.
Dipendekan cerita, Hazim Zafran ditahan di hospital selama 24 hari. Dalam tempoh 24 hari itulah, saya dan suami berulang alik pergi ke hospital setiap hari tanpa jemu. Hospital merupakan rumah kedua kami sekeluarga. Dan Kakak pada waktu itu ditempatkan dibawah jagaan kakak ipar saya untuk menjaganya.
Nasib kami tidak berakhir disitu, selepas Hazim Zafran berusia 7 bulan doktor mengesahkan dia mengalami kecacatan otak yang dikenali 'cebral palsy'. Ya, Allah ada lagi ujian mu untuk kami rupanya. Air mata saya terus mengalir ketika itu walaupun dihadapan doktor. Apabila dikurniakan anak istimewa ini kehidupan kami sekeluarga berubah serta merta. Hazim Zafran tidak boleh diexpose kepada persekitaran luar kerana antibodi dia tidak sekuat bayi yang normal, kuat untuk melawan penyakit. Apabila ada diantara ahli keluarga yang demam atau sakit kami terpaksa asing Hazim Zafran. Makan dan minum Hazim Zafran jugak tidak seperti kanak-kanak normal yang lain. Hanya mampu untuk menelan bubur nasi yang diblend halus dan susu saja. Saya sebagai ibu yang bekerja setiap masa berada dalam keadaan delima untuk bekerja atau berhenti kerja saja demi anak saya Hazim Zafran. Walaupun mempunyai pembantu rumah tapi tanggungjawab itu tidak terletak sepenuhnya ditangan pembantu. Semasa ketiadaan kami bekerja tanggungjawab itu haruslah kepada pembantu. Apabila pulang kami ambil alih pulak. Pernah jugak pembantu kami mendera Hazim Zafran dan Kakaknya semasa ketiadaan kami bekerja. Dan ditinggalkan Hazim Zafran dirumah jiran seterusnya pembantu itu lari. Kesian Hazim Zafran, sanggup mereka-mereka yang tidak berhati perut memperlakukan dia sebegitu. Kepada Allah swt aku berdoa moga saya dan suami. Tak kan saya halalkan wang gaji engkau yang dibayar selama ini.
Sekarang Hazim Zafran telah pun berusia 5 tahun 1 bulan. Semenjak menjalankan sesi rawatan bersama Kak Raw nie, Hazim Zafran semakin sihat... Alhamdullilah syukur padamu ya Allah... Dan tak lama lagi Hazim Zafran akan mendapat adik baru. Insyaallah pada pertengahan bulan Mei 2012 nanti lahirlah seorang puteri. Diharap semua berjalan dengan baik dan lancar dengan izin Allah swt. Manalah tahu nanti kalau Hazim Zafran ada adik tiba-tiba dia mampu berjalan, duduk, bercakap dan makan sendiri. Sapa tahukan... Allah punya kuasa. Tapi setiap yang berlaku mesti ada hikmahnya. Doakan yang terbaik untuk kami sekeluarga. Insyaallah...
Tak tahu la gambar sapa nie... Haziq Zafri atau Hazim Zafran
Hazim Zafran dalam inkubator tapi waktu nie dah besar sikit, berat pon dah bertambah jugak la... tu baru bukak mata tengok ibu dan ayah datang.
Ibu tengok adik dah macam tukang masak la pulak...
Gambar-gambar semua nie usia Hazim Zafran mungkin dalam 5 ke 6 bulan kot... ibu pun dah lupa...:)
Hazim Zafran kena dera buat fisioterapi kat hospital. Tu nampak tak air mata tu...
Ibu suka gambar-gambar Hazim Zafran waktu nie cute sangat. Ada nampak macam anak cina tak saya nie...?