Apa Itu Palsi Serebrum?
Palsi serebrum yang dipanggil Cerebral Palsy (CP) dalam
bahasa Inggeris merupakan salah satu kategori ketidakupayaan perkembangan di
mana bahagian-bahagian otak tertentu yang mengawal koordinasi dan pergerakan
otot-otot dalam badan seseorang mengalami kerosakan. Ia boleh berlaku semasa
seseorang itu masih berada dalam kandungan ibu, semasa dia dilahirkan atau dalam
beberapa tahun pertama selepas dia dilahirkan.
Bahagian-bahagian otak yang mengalami kerosakan itu tidak
akan sembuh buat selama-lamanya. Walaubagaimanapun, kerosakan itu juga tidak
akan bertambah teruk. Hal ini bermaksud kerosakan itu akan berkekalan. Oleh itu,
individu-individu palsi serebrum akan mengalami ketidakupayaan tersebut
sepanjang hidup mereka. Mereka akan mengalami masalah pergerakan badan di mana
motor kasar dan motor halus mereka terjejas. Mereka akan mengalami kesukaran
untuk melakukan aktiviti-aktiviti harian seperti berjalan, menguruskan diri,
makan, menulis dan sebagainya.
Individu yang mengalami palsi serebrum adalah unik. Keadaan
fizikal seseorang individu palsi serebrum adalah berbeza dengan individu palsi
serebrum yang lain. Tiada dua individu palsi serebrum yang mengalami tahap
ketidakupayaan yang sama. Tahap ketidakupayaan seseorang individu itu boleh
dikategorikan dari sangat minima hingga sangat teruk. Seseorang yang
dikategorikan pada tahap sangat minima biasanya berupaya menjalani kehidupan
harian seperti biasa tanpa sebarang bantuan. Sebaliknya seseorang yang
dikategorikan pada tahap sangat teruk pula memerlukan penjagaan sepanjang hari.
Dia bergantung sepenuhnya pada orang lain untuk melakukan segala aktiviti harian
termasuk bergerak dan makan.
Secara umumnya, palsi serebrum boleh dibahagikan kepada tiga
jenis iaitu spastik (spastic), athetosis (athetoid) dan ataxia
(ataxic). Seseorang itu mungkin juga mengalami gabungan dua atau
ketiga-tiga jenis palsi serebrum. Selain itu, mereka yang mengalami palsi
serebrum biasanya juga mengalami ketidakupayaan atau masalah lain. Ia
termasuklah masalah pertuturan, masalah pendengaran, masalah penglihatan,
masalah pembelajaran, terencat akal, masalah tingkahlaku, epilepsi dan masalah
pertumbesaran.
Sungguhpun palsi serebrum tidak dapat diubati, namun keadaan
fizikal seseorang mereka boleh bertambah baik dengan menjalani terapi seperti
fisioterapi, terapi cara kerja dan terapi pertuturan; pengambilan ubat untuk
mengurangkan ketegangan otot dan mengawal epilepsi; menjalani pembedahan untuk
mengurangkan ketegangan otot atau memperbetulkan anatomi yang abnormal dan
sebagainya.
Jenis-Jenis Palsi Serebrum
Secara umumnya, palsi serebrum boleh dibahagikan kepada tiga
jenis iaitu spastik (spastic), athetosis (athetoid) dan ataxia
(ataxic).
Spastik
Seseorang dikatakan mengalami palsi serebrum jenis spastik
sekiranya dia mengalami ketegangan otot yang terlampau tinggi. Ketegangan
ototnya berkemungkinan akan meningkat apabila dia melakukan sesuatu. Hal ini
menyebabkannya kelihatan kaku atau keras.
Palsi serebrum jenis spastik boleh dibahagikan lagi kepada
tiga kategori yang lebih spesifik berdasarkan bahagian badan yang terjejas iaitu
paraplegia, hemiplegia dan diplegia. Bagi seseorang yang dikategorikan sebagai
spastik paraplegia, kedua-dua tangan dan kaki serta tengkuknya terjejas.
Kebanyakannya tidak dapat berjalan. Apabila hanya sebelah kiri atau kanan badan
sahaja yang terjejas, seseorang itu digolongkan sebagai spastik hemiplegia. Dia
akan kelihatan tempang semasa berjalan. Bagi seseorang yang mengalami spastik
diplegia pula, kakinya adalah lebih terjejas daripada tangan. Fungsi tangannya
mungkin terjejas sedikit atau tidak mengalami sebarang masalah.
Athetosis
Seseorang yang mengalami palsi serebrum jenis athetosis
mengalami gabungan tahap ketegangan otot iaitu ada kalanya mengalami ketegangan
otot yang sangat tinggi dan ada kalanya mengalami ketegangan otot yang sangat
rendah. Seseorang itu selalunya menunjukkan pergerakan luar kawalan atau
pergerakan secara tidak sengaja. Dia sukar mengekalkan posturnya semasa duduk
atau berjalan. Dia memerlukan usaha dan tumpuan yang tinggi untuk mengunjurkan
tangannya ke arah sesuatu seperti menggaru hidungnya atau mencapai sesebuah
buku.
Ataxia
Seseorang yang mengalami palsi serebrum jenis ataxia pula
menghadapi masalah koordinasi dan keseimbangan badan. Seseorang itu biasanya
boleh berjalan tetapi tidak stabil. Dia akan berjalan dengan melebarkan jarak
antara kedua-dua kakinya untuk mengimbangkan badannya. Tangannya akan bergetar
semasa melakukan sesuatu khususnya apabila dia perlu melakukan pergerakan yang
tepat atau pergerakan pantas seperti semasa membutangkan baju atau menulis.
Keadaan akan bertambah teruk apabila dia disuruh melakukan sesuatu dalam masa
yang singkat.
Kebanyakan individu palsi serebrum dikategorikan jenis
spastik, dan ia diikuti dengan athetosis dan ataxia. Walaubagaimanapun,
seseorang itu berkemungkinan mengalami lebih daripada satu jenis palsi serebrum.
Hal ini bermaksud dia berkemungkinan mengalami palsi serebrum jenis spastik
dengan athetosis, palsi serebrum jenis spastik dengan ataxia, palsi serebrum
jenis athetosis dengan ataxia atau palsi serebrum jenis spastik, athetosis
dengan ataxia.